Ahad, 27 November 2011

Mahmud Si Gajah Abrahah


SURAH ALFIL , AL QURAN 

Terjemahan Ayat:
Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang
  1. Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) Gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)?
  2. Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka?
  3. Dan Ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,
  4. Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras,
  5. Lalu Ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.



Ayat diatas menceritakan tentang kisah tentera bergajah yang diketuai oleh seorang Gabenor Yaman yang jahat bernama Abrahah. Kisah ini berlaku pada tahun gajah iaitu tahun kelahiran Nabi kita, Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam kisah ini Abrahah telah mengerahkan tenteranya yang terdiri daripada tentera bergajah untuk menyerang dan meruntuhkan Kaabah. Ini disebabkan perasaan iri hati dan dendamnya terhadap Kaabah dan orang Mekah yang tidak mengendahkan rumah ibadat yang dibinanya yang bernama ”Al-Qulais”.

Bukan itu sahaja, bahkan pada suatu malam orang Quraisy telah mengotori rumah ibadah itu dengan najis menyebabkan Abrahah marah. Maka dikerah oleh Abrahah ekspedisi ketenteraan yang diketuai oleh seekor gajah Afrika yang sangat besar bernama Mahmud. Mereka menuju kearah Kaabah untuk membalas dendam!

Tiba-tiba ada seekor ular yang bertanyakan kepada ketua gajah disitu yang bernama Mahmud.
''wahai gajah engkau mahu kemana?'' kata si ular. Lalu Mahmud menjawab, aku mahu ke Kota Kaabah untuk membantu Tuan(Abrahah) aku mendapatkan kekayaan. Ular berkata'' Baik kau jangan pergi, Tuan kau hendak meruntuhkan kaabah''. ''Mungkin kau silap'' kata Mahmud , ''Terpulanglah pada kau hendak percaya ataupun tidak''.kata Si Ular. Lalu tentera bergajah Abrahah meneruskan perjalanannya.
Disana penduduk Mekah hanya mampu berdoa dan berserah kepada Allah untuk menentukan nasib Kaabah.

Abrahah merancang, Allah juga merancang. Namun perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan. Ketika tentera Abrahah sudah hampir sampai ke Kaabah iaitu di Lembah Muhassir, secara tiba-tiba gajah-gajah yang diketuai oleh Mahmud tidak berganjak. Mereka tidak mahu bergerak kearah Kaabah! Walaupun dipukul berkali-kali Mahmud tidak juga berganjak. Lalu Abrahah mengambil keputusan untuk bergerak bersama tenteranya ke Kaabah berjalan kaki sambil membawa tukul.

Maha suci Allah, ketika mereka sampai di pertengahan lembah, mereka disambut oleh burung yang berbondong-bondong datang dengan membawa tiga ketul batu kecil lagi berapi. Dibawa oleh mereka batu tersebut di kedua kaki, juga pada paruh mereka. Bagaikan penggempur udara burung-burung ini kemudiannya melepaskan batu-batu tersebut kearah tentera Abrahah sehingga tiada tentera yang mengenai batu tersebut melainkan hancur luluh daging mereka ditembusi batu dan tubuh mereka berlubang-lubang seperti dimakan ulat!
Mahmud kesal akan perbuatannya dan telah insaf dan bertaubat.

Abrahah sempat melarikan diri dari Kaabah dengan daging pada badannya berlubang-lubang. Lalu sebelum sampai ke Yaman dia mati dengan keadaan yang mengerikan dan menjadi sebagai satu pengajaran kepada sesiapapun yang ingin merosakkan rumah Allah. Begitulah Allah menunjukkan kekuasaannya kepada mereka yang ingkar dan jahat. Akhirnya nama Abrahah disebut-sebut, bukan sebagai wira, tetapi cemuhan demi cemuhan terhadapnya dan juga sebagai tauladan supaya tidak membuat kerosakan di rumah Allah.

Begitulah kisah Mahmud, seekor gajah Afrika yang kisahnya diabadikan oleh Allah didalam surah Al-Fil. Sekarang adik-adik tentu sudah tahu betapa Mahmud bukanlah seekor gajah yang jahat, malah dia cuba melindungi Kaabah semampunya. Oleh itu kita sebagai umat Islam haruslah mencontohi kisah Mahmud ini untuk tidak melakukan kerosakan di bumi Allah, tidak tertarik melakukan kerosakan malah menghalang orang lain dari melakukan kemungkaran. InsyaAllah dengan kisah-kisah didalam Al-Quran ini membuatkan kita menjadi manusia yang lebih baik mengikut aturan yang ditetapkan Allah. Semoga kita bertemu lagi di artikel-artikel akan datang!

Diceritakan kembali dan diolah dari:

Disampaikan oleh : Hareez Haiqal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan